Kawal berat, kekal bentuk badan

Sebelum itu, sila periksa ukuran pinggang masing-masing. Serius ni. Ramping atau lebar? Yang mana satu bentuk badan anda – saiz buah epal atau pear? (Akan diterangkan di bawah).

Dah? Okey, perhatian! Sedarkah anda bahawa dunia kini menampung lebih banyak wanita yang mempunyai berat badan berlebihan berbanding wanita yang tidak cukup makan.

Menjadi obes, terutamanya dengan membawa beratan di sekeliling abdomen/perut menyebabkan seseorang berisiko tinggi berdepan serangan jantung dan angin ahmar/strok, mempercepatkan serangan jantung pertama terjadi antara empat hingga lapan tahun.

Justeru, mengekalkan berat badan unggul dan bentuk badan sihat mengurangkan risiko ini secara dramatik.

Obesiti abdominal yang dikira menggunakan lilitan pinggang, menjadi petanda mudah kepada risiko kardiovaskular.

“Kesihatan jantung anda berada dalam risiko bukan hanya disebabkan oleh jumlah lemak tubuh tetapi di mana terletaknya lemak itu.

“Lemak abdominal yang berlebihan adalah lebih kebal terhadap tindakan insulin,” kata Pengerusi Majlis Penasihat Saintifik, Yayasan Jantung Dunia (WHF), Dr. Sidney Smith.

Oleh itu, bentuk badan terutamanya ukuran pinggang yang besar berbanding saiz pinggul (badan bentuk epal), meningkatkan risiko diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang, adalah sangat penting bagi seseorang itu untuk mengambil berat akan berat badannya serta potensi risikonya terhadap kesihatan jantung mereka.

“Saiz pinggang adalah berkait rapat dengan peningkatan risiko termasuklah kanak-kanak. Dan, ia hanya memburukkan keadaan bagi pesakit yang sedia mempunyai masalah dengan jantungnya.

“Saiz pinggang umpama tekanan darah dan tahap kolesterol yang kita semua mesti tahu dari segi `nombor-nombor’nya yang terlibat, memahami serta memantaunya secara dekat,” tambah Dr. Smith.

Lelaki dengan saiz pinggang melebihi 94 sentimeter (37 inci) dan wanita bersaiz pinggang melebihi 80 sentimeter (32 inci) dianggap berisiko tinggi mendapat penyakit jantung dan strok.

Selaras dengan itu, Hari Jantung Sedunia 2005 yang jatuh pada hari ini, dianjurkan dengan matlamat untuk menggalakkan populasi dunia mengamalkan gaya hidup sihat dengan membanyakkan senaman dan mengurangkan risiko penyakit jantung tanpa merokok, pemakanan sihat dan pengawalan berat badan.

Sejak tahun 2000, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan UNESCO telah mengisytiharkan setiap Ahad terakhir bulan September untuk diraikan sebagai Hari Jantung Sedunia pada setiap tahun. Tema sambutan yang dibawakan bagi tahun ini adalah gaya hidup sihat.

Mengamalkan gaya hidup yang sihat akan mengurangkan dengan ketara risiko penyakit jantung dan strok bersandarkan beberapa kajian baru yang membuktikan bahawa faedah kesihatannya mulai menunjukkan keberhasilan dalam masa enam minggu sahaja.

Mengekalkan berat badan sihat terdiri daripada keseimbangan tenaga masuk (kalori yang digunakan) dengan tenaga keluar (kalori yang dibakar).

Bagi dewasa, berjalan laju sekurang-kurangnya setengah jam sehari mampu mengurangkan risikonya. Aktiviti-aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah berjoging, berenang, berbasikal dan bersukan. Berkebun serta melakukan kerja-kerja rumah juga boleh menyihatkan jantung anda.

Pengambilan diet seimbang seperti sayur-sayuran dan buah-buahan, produk bijirin, produk tanpa lemak atau rendah lemak, marjerin lembut tidak tepu dan minyak seperti bunga matahari, jagung, biji sawi dan minyak zaitun, daging tidak berlemak, ikan dan kekacang adalah yang terbaik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WHF, Janet Voute menyifatkan ibu bapa sebagai model yang sangat berpengaruh kepada anak-anak mereka.

“Ibu-ibu yang memakan lebih banyak sayur-sayuran serta buah-buahan mempunyai anak perempuan yang juga mengambil sayur-sayuran dan buah-buahan dalam kuantiti yang banyak.”

Anda epal atau pear?

Kesihatan anda diletakkan dalam keadaan risiko bukan sahaja disebabkan oleh jumlah lemak tubuh yang anda ada tetapi juga di mana letaknya lemak tersebut.

Anda dikatakan mempunyai bentuk badan epal jika anda cenderung naik berat badan terutamanya di sekitar pinggang/perut manakala badan berbentuk pear pula, berat badan seseorang mudah bertambah di bahagian pinggul dan punggung.

Bentuk epallah yang mempunyai risiko yang meningkat penyakit jantung. Oleh itu, mereka perlu, diulangi – perlu, memberikan perhatian yang lebih untuk mengekalkan berat badan sihat.

Ukur pinggang, ukur risiko anda

Ukur lilitan pinggang anda. Untuk mendapat ukuran yang tepat, tali pengukur hendaklah diletakkan pada paras pusat anda.

Sekiranya bacaan menunjukkan lebih 94 sentimeter bagi lelaki dan lebih 80 sentimeter bagi wanita, anda boleh dianggap berada dalam risiko!

Risikonya adalah lebih tinggi jika seseorang lelaki itu mempunyai ukuran pinggang di atas 102 sentimeter (40 inci) manakala wanita 88 sentimeter (35 inci).

Indeks jisim tubuh (BMI)

BMI merupakan petunjuk tahap kesihatan anda berbanding ketinggian dan berat badan anda.

Bagaimana untuk mendapatkan berat dan bentuk badan yang sihat

Keseimbangan tenaga

Berat badan seseorang menjadi berlebihan apabila lebih banyak kalori yang dimakan daripada digunakan. Kita perlu hidup dalam tenaga yang seimbang.

Sekiranya anda ingin menurunkan berat badan, pengambilan kalori anda hendaklah dikurangkan berbanding kalori yang dibakar.

Selalu bersenam dan memakan diet yang seimbang berupaya membantu anda kekal cergas dan membakar lebih banyak kalori.

Elakkan diet sementara atau mengikut trend semasa yang menawarkan keputusan tidak realistik serta yang menggalakkan memakan (atau tidak memakan) makanan tertentu.

Ingat, jika anda hilang berat badan secara beransur-ansur, peluangnya adalah lebih cerah untuk anda mengekalkannya.

Pemakanan sihat

* Amalkan diet seimbang seperti banyakkan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran (serta senarai makanan yang telah disebutkan terdahulu)

* Hadkan pengambilan garam dan gula

* Bersarapan dan pastikan untuk mengambil sekurang-kurangnya tiga hidangan sehari

* Gunakan perkakasan memasak yang lebih sihat seperti mengukus, merebus, memanggang dan membakar sebagai ganti kepada menggoreng atau menambah lemak. Kembangkan cara-cara memasak yang sihat ini di kalangan keluarga anda

* Hindarkan daripada membeli makanan manis dan makanan ringan

* Minum sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas air sehari

* Jangkakan `godaan’, jadi rancang hidangan sihat anda dari awal.

Selalu bersenam

* Bagi dewasa, hanya dengan berjalan laju selama setengah jam sehari boleh mengurangkan risiko anda

* Kanak-kanak perlu meluangkan masa 60 minit sehari untuk melakukan aktiviti fizikal atau bermain-main

* Kurangkan masa menonton televisyen sebaliknya tingkatkan pembabitan keluarga dengan kerap untuk beriadah dan bersukan

* Bagi individu yang suka mengarahkan orang lain mengambil atau melakukan sesuatu untuknya, berkemungkinan besar mengalami pertambahan berat badan kerana kurang bergerak. Oleh itu, jika perlukan sesuatu, sila bangun dan ambil sendiri

* Libatkan diri dan keluarga anda dengan individu yang sama ada mengambil bahagian bersama anda ataupun mengingatkan anda untuk bersenam

* Jika anda menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, anda boleh turun jauh sedikit daripada perhentian anda untuk pulang ke rumah

* Di pejabat, gunakan tangga dan bukannya lif, berjalan-jalan di sekeliling bangunan tempat kerja atau bersenam semasa waktu rehat tengah hari. Bagus juga jika anda boleh turut serta atau mencetuskan kumpulan senaman di pejabat

* Sarankan kepada sekolah anak-anak anda untuk menyediakan hidangan yang berkhasiat di samping meningkatkan pendidikan jasmani dalam kurikulum.

Berat badan berlebihan adalah berisiko

Lebih berat badan bermakna, jantung anda perlu bekerja lebih kuat untuk membekalkan darah ke seluruh badan.

Ia seterusnya meningkatkan dengan ketara risiko anda untuk mendapat penyakit jantung dan strok.

Di kalangan kanak-kanak, berat badan berlebihan bermakna, risiko mereka untuk mendapat serangan jantung atau strok tiga hingga lima kali lebih tinggi, sebelum mencecah usia 65 tahun.

Berat badan berlebihan dalam masa yang sama, turut meningkatkan kecenderungan untuk mendapat lain-lain masalah kesihatan yang menyumbang kepada risiko penyakit jantung dan strok:

* Tekanan darah tinggi; seseorang yang mempunyai lebihan berat badan mempunyai risiko yang lebih tinggi, antara dua hingga enam kali ganda untuk mendapat tekanan darah tinggi

* Kolesterol darah tinggi; tingkat kolesterol dipengaruhi oleh jumlah lemak-lemak tepu yang dimakan pada setiap hari. Jika berat badan anda berlebihan, maknanya, risiko anda adalah lebih tinggi

* Diabetes jenis 2; sebanyak 80 peratus daripada pesakit diabetes adalah berlebihan berat badan.


Panduan Kuruskan Badan.Keterangan lanjut, sila klik sini.


Rahsia Tarikh Lahir. Keterangan lanjut, sila klik sini.


Panduan Merancang Majlis Perkahwinan. Sila klik sini.


Rahsia Lulus Temuduga Kerja Kerajaan. Sila klik sini.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.